Pilihan raya kecil(ulasan PM)
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu jentera Barisan Nasional (BN) membuat persiapan awal bagi menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah.
Perdana Menteri berkata, BN perlu bekerja keras bagi merampas kembali dua kerusi yang dikuasai oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan tidak menganggap pilihan raya kecil tersebut sebagai suatu perkara yang mudah.
"Semua pihak mesti melaksanakan peranan masing-masing, apa yang penting kita perlu membuat persiapan mulai sekarang.
"Apa juga isu yang akan ditimbulkan, kita perlu hadapinya serta memberikan jawapan dan yang penting BN perlu menghadapinya dengan penuh persediaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Eksekutif Muda Perkhidmatan Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Abdullah yang juga Pengerusi BN mengulas dua pilihan raya kecil yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum dari Pas semalam setelah mengalami serangan jantung.
DUN Bukit Selambau pula menjadi kosong selepas penyandangnya, V. Arumugam meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa semalam.
Menurut Perdana Menteri, beliau akan berbincang dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jawatankuasa Pengurusan UMNO bagi merangka pendekatan yang bakal diambil bagi menghadapi dua pilihan raya kecil tersebut.
Beliau berkata, BN akan mengadakan perbincangan sama ada akan mengemukakan calon lebih awal seperti Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu atau sebaliknya.
"Selepas itu, baru kita tetapkan apakah pendekatan yang akan digunakan kerana tidak semestinya pendekatan bagi setiap pilihan raya kecil sama semuanya.
"Sudah tentu ada kelainan dan ia akan mengikut keadaan," katanya.
Dalam pada itu, Abdullah menolak tanggapan bahawa dua pilihan raya kecil itu akan menjadi satu referendum terhadap situasi politik di Perak setelah BN berjaya mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada pakatan pembangkang.
"Tidak boleh, jangan sampai jadi begitu kerana ia tidak ada kena mengena (dengan situasi politik Perak).
"Sekarang pilihan raya kecil, jadi hadapinya sebagai sebuah pilihan raya kecil," katanya.
Beliau juga menolak kemungkinan BN akan mengambil alih kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang sebagai mana berlaku di Perak.
"(DiPerak) Itu pun dia (wakil rakyat pembangkang) yang datang kepada kita, jadi kita ambillah," katanya.
Catatan Di Belakang Tirai Besi
9 years ago
0 comments: